Wednesday, 20 August 2014

Hidayah Allah Melalui Perantaraan Insan

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Seorang hamba Allah pernah cakap dekat saya “Beruntunglah orang yang diberikan hidayah oleh Allah, sebab bukan semua orang dapat..” Ya, saya bersyukur. bersyukur sebab saya adalah antara hamba Allah yang dapat hidayah untuk berubah ke arah yang lebih baik. Dulu saya tak patuh perintah Allah, banyak sangat langgar perintah Allah. Walaupun mak dan abah selalu pesan dekat diri saya supaya patuh dengan perintah Allah, tapi saya degil.

     Dan.. Takdir Allah telah tertulis bahawa saya akan kehilangan seorang sahabat yang sangat saya sayang pada 3 tahun lepas. Kisahnya bermula di waktu saya leka dengan kehidupan dunia.. Allah pertemukan saya dengan seorang hamba Allah, iaitu seorang Adam. Bila terpandangkan wajah beliau, sejuk rasa hati saya. Kami jadi rapat & saya selesa berkawan dengan beliau kerana sikapnya yang selalu menasihati saya tentang hal agama. Kadang-kadang saya tertanya dalam diri, dalam banyak-banyak wanita, kenapa mesti saya? Maksud saya, kenapa beliau memilih saya sebagai kawan rapat? Beliau seorang yang berilmu, mempunyai ilmu agama yang tinggi sedangkan saya ketika itu tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak tinggi ilmu agama & memang ketara saya dengan beliau sangat berbeza. Dan.. Pertama kali dalam hidup saya selama 21 tahun saya rasa saya BERSAHABAT KERANA ALLAH. Tapi.. Takdir Allah mengatasi segalanya, satu peristiwa terjadi (tak perlu saya beritahu apa) dan kami jadi renggang.

     Saya bagaikan hilang arah selepas saya kehilangan beliau di sisi. Macam-macam perasaan dalam hati saya ini. Sedih, sebak, rindu. Saya selalu cakap saya redha dengan semua ini tapi kadang-kadang saya rasa saya tak redha pun sebenarnya, saya cuma PASRAH. Lebih kurang 2 bulan selepas kehilangan dia, tiba-tiba ada satu aura dan semangat yang muncul dalam diri saya. Ya, semangat untuk mengubah diri saya menjadi lebih baik. Bila saya ingat nasihat-nasihat beliau, saya akan jadi bersemangat. Saya cakap dengan diri saya sendiri “walaupun tanpa dia di sisi, aku kena teruskan hidup. aku tidak mahu kembali kepada aku yang dulu. Kalau aku kembali kepada diri aku yang dulu, maknanya aku telah tewas. Allah akan murka terhadap aku dan hamba Allah yang membantu aku berubah itu pun pasti sedih..”. Saya cuba fikir positif, mungkin Allah pertemukan saya dengan beliau hanya untuk bantu saya berubah. Saya kena bersyukur walaupun sedetik cuma.

     Selepas daripada insiden itu, saya mula berhijab.  Walaupun tak sempurna sepenuhnya, tapi saya belajar sikit sikit untuk berubah. Saya rajin ke kedai buku dan cari buku-buku agama, saya dengar ceramah orang yang berilmu seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don, Kak Dina(Wardina), Kak Ija (Heliza), Kak Nana (Diana Amir) dan ramai lg, saya pergi kuliah di masjid, saya kawan dengan orang yang baik-baik, saya mula labuhkan tudung menutupi dada dan saya mula pakai stokin. Saya belajar erti redha dengan ketentuan Allah. Kalau rasa rindu menerjah, saya hanya membiarkan pena menulis rasa hati saya waktu itu di dalam buku. biarlah perasaan itu terbuku di hati. Saya selalu ingatkan diri saya tentang mati. andai kata nyawa saya dicabut ketika saya sedang nyenyak tidur sebelum sempat bertaubat, apa akan jadi dengan nasib saya di akhirat kelak? Saya taknak masuk neraka jahannam. NAUZUBILLAH.

Dan Alhamdulillah.. setelah 3 tahun 1 bulan. Inilah saya..

     Inilah saya sekarang, yang sedang menaip entri ini. Syukur kepada Allah, saya masih mencuba untuk menjadi muslimah yang sejati. Bila kita cuba untuk berubah jadi lebih baik, Allah akan permudahkan.. Allah akan hantar orang-orang yang baik kepada kita untuk memudahkan proses perubahan kita itu. Saya tidak pernah berhenti bersyukur sebab Allah beri saya hidayah. Ada orang dapat hidayah untuk berubah setelah dapat mimpi, kemalangan dan lain-lain. Tapi saya berbeza. Allah pertemukan saya dengan seseorang dan saya kehilangan dia. Saya belajar sesuatu, bila kita hilang seseorang, ia bukan mengajar kita erti lemah atau kecewa. Tapi ia mengajar kita kuat. Kuat untuk menghadapi kehilangan itu. andai kita lemah dan terlalu melayankan sangat perasaan kehilangan itu, kita akan jatuh tersungkur. Tapi andai kita belajar dari kesilapan yang lalu dan muhasabah diri sendiri, in shaa Allah.. Allah bantu kita merawat luka di hati.

     Kawan-kawan saya ramai yang ‘heartbroken’ lepas itu mengadu dekat saya yang ‘heartbroken’ penyakit yang tiada ubat dalam dunia ini. Saya nak kongsi dengan anda apa sahabat saya cakap dekat saya dulu waktu saya tengah sakit hati, sakit jiwa. “Siapa cakap sakit hati tiada ubat? Ada.. KEMBALI KEPADA ALLAH. Allah yang ciptakan rasa sakit hati dan kecewa itu, dan Dia juga lah yang akan bantu kita selesaikan semua permasalahan itu, in shaa Allah”. Jadinya, siapa kata ‘heartbroken’  tiada ubat? :)

     Saya redha dengan “KEHILANGAN” ini. Saya anggap ia satu ujian daripada Allah untuk saya. saya redha. Saya mendapat berita bahawa sahabat saya itu akan bernikah pada bulan Februari nanti. Alhamdulillah. Untukmu sahabatku, di mana jua awak berada.. doa saya sentiasa mengiringi awak. saya doakan awak bahagia di dunia & juga di akhirat. In shaa Allah sampai ke syurga. Terima kasih untuk segalanya, jasa baik awak membantu saya berubah, saya tidak akan dapat membalasnya kerana terlalu besar nilainya tetapi hanya Allah yang mampu dan layak membalasnya. Barakallahu Fik. :)

     Kadang-kadang dalam hidup ini, kita kena ambil sedikit masa untuk duduk bersendirian dan muhasabah diri sendiri. Selama kita hidup, apa yang kita buat? Ada tak kita sedekah, berbakti kepada kedua ibu bapa, patuh kepada perintah Allah? Ada tak kita maafkan orang & minta maaf dekat orang sebelum kita tidur? Muhasabah diri itu perlu untuk menjadikan kita insan yang lebih baik. Alhamdulillah, saya rasa sangat bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya ada Allah yang sentiasa di sisi saya. saya tidak keseorangan. “Andainya manusia tahu akan kemanisan iman, pastinya kemanisan dunia akan terhapus”.

     Kita selalu cakap kita nak suami isteri yang soleh solehah. Tapi, pernah tak kita cuba untuk mengubah diri jadi soleh dan solehah? Yakinlah akan janji Allah, orang yang baik untuk orang yang baik & begitulah sebaliknya. Kalau kita nak orang yang baik, kita sendiri perlu mengubah diri kita jadi lebih baik. Kalau tak, macam mana Allah nak bagi kita org yang baik? Lagi satu, berubahlah kerana Allah, bukan kerana manusia. Sebab kalau kita berubah kerana manusia, ianya adalah bersifat sementara. Tetapi kalau kita berubah kerana Allah, in shaa Allah ia kekal selamanya.

     Kepada sahabat-sahabat saya yang sedang berjuang ke jalan Allah, saya doakan kita semua berjaya dan dapat bertemu berpimpin tangan ke Jannah Allah.. Dan buat sahabat-sahabat saya yang masih tercari-cari erti hidup berlandaskan syariat Allah ini, saya doakan semoga anda semua memperoleh hidayah & rahmat dari Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. Sesungguhnya hidayah Allah itu terbentang luas, raih lah ia sebelum ia pergi meninggalkan kita. Kepada kaum muslimah, jom kita hijabkan diri, hijabkan hati! Tahu tak wanita yang memakai hijab sangat cantik? SUBHANALLAH MAHA SUCI ALLAH.

HIDAYAH ALLAH KITA KENA CARI, IA TAK DATANG BERGOLEK. REMEMBER.
Daripada Rasulullah S.A.W : “Jika kita mengejar dunia, dunia akan lari meninggalkan kita. Tetapi jika kita kejar akhirat, dunia akan sujud pada kita.” Sama-samalah kita renungkan…

Akhir sekali, saya minta maaf andai entri saya ini mengguris hati sesiapa. Sesungguhnya yang baik datang daripada Allah dan yang buruk datang daripada diri saya sendiri. Wassalam.

source:iluvislam.com

YA ALLAH, ISTIQAMAHKANLAH PERASAAN INI.

Tuesday, 22 July 2014

.:SKETSA HARI RAYA :.

Sketsa raya : Pak cik / Mak cik hulur tangan? Kita nak buat apa?

Pernah tak alami keadaan ini? Mesti pernah kan? Tambah-tambah lagi waktu perayaan macam ni. Memang agak sukar untuk ‘lari’, pasti ada sahaja tangan yang terdahulu dihulur apabila berkunjung ke satu-satu rumah.


Bagi mereka yang faham, Alhamdulillah. Mereka tahu kenapa kita tidak menyambut huluran tangan untuk bersalam. Namun, bagi mereka yang kurang dan tidak faham, rasa bersalah menyusup di hati kita. Bimbang tindakan kita – tidak menyambut huluran tangan akan menjatuhkan air muka mereka. Lebih-lebih lagi pada mereka yang sebaya ibu ayah kita.

Maka, perlu bagi kita untuk bijak ‘banyak’ dalam menguruskan hal ini. 

Sebelum menghulur atau membalas huluran tangan ketika hendak bersalaman, perlu untuk kita tahu dan selidiki dahulu. Siapa yang boleh kita bersentuhan dengannya? Adakah dia mahram atau tidak kepada kita? Dalam hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang berbunyi:-

“Bergerombolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan(secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahramnya.” 
(Riwayat Ibnu Majah)



 Justeru, siapa pula yang dikatakan golongan mahram kepada wanita? Hanya mereka yang Mahram sahaja yang diperbolehkan untuk melihat aurat sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran, surah An-Nur ayat 31. Mereka ialah:-

1. Suami

2. Bapa sendiri ( bapa kandung)

3. Bapa suami (bapa mertua)

4. Anak lelaki

5. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.

6. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).

7. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)

8. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)

9. Wanita Islam yang berakhlak.

10. Hamba lelaki yang mereka miliki

11. Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita.

12. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).

13. Anak lelaki susuan.

14. Bapa susuan.

15. Saudara susuan.

16. Bapa saudara sususan, datruk saudara susuan hingga ke atas, dan anaksaudara susuan hingga ke bawah.

17. Menantu lelaki.



Teringin untuk share sedikit tip cara-cara yang boleh dibuat untuk berhadapan dengan situasi begini berdasarkan pengalaman sepanjang open house di rumah.

1. Jadi orang pertama menghulur salam 

Cepat-cepat dapatkan mak cik dan golongan perempuan untuk yang perempuan / pak cik dan golongan lelaki untuk yang lelaki
-Perkara ini memang susah juga nak buat kerana jika satu rombongan datang, selalunya yang mengetuai rombongan tersebut adalah lelaki. Bagi lelaki, mudah diurus. Bagi perempuan kita kena guna taktik sikit.

Sebelum pak cik/ abang sepupu/ kawan lelaki sempat hulur tangan mereka, kita cepatkan langkah mendekati mak cik/ saudara perempuan yang lain. lepas tu, cepat-cepat bawa mereka masuk ke rumah. Jangan biarkan ada ruang kita bersendirian kerana boleh saja akan membuka peluang untuk mereka (lelaki) menghulurkan tangan.

Jika perlu, buatlah diri seakan-akan sibuk, agar mereka tiada ruang untuk bersalaman dengan kita.

2. Cari piring/ gelas yang kotor bawa ke dapur dan basuh

- Kadang- kadang cara pertama tidak sesuai dengan kita atau walau kita rancang namun tetap tidak berkesan. Maka, perlu juga bagi kita plan B. Jika kita rasa kita tidak cukup kuat untuk lakukan strategi nombor 1, maka, gunakanlah cara lain iaitu cepat-cepat cari piring/gelas kotor untuk dibasuh.

Sekiranya tidak ada yang kotor pun, bawa saja ke dapur. Nampakkan diri kita sibuk. Sekiranya mereka datang untuk bersalam, katakanlah tangan kita bersabun dan kita nak basuh piring/gelas dulu. Mudah-mudahan dengan cara itu, mereka akan akur dan niat bersalam mungkin tidak kesampaian kerana mereka sibuk menjamu selera selepas tu.

3. Bagi alasan kita ada wudhu dan nak sembahyang

- Rasanya, cara ni pun susah nak buat sebab nanti mesti mereka kata kita boleh ambil wudhu lagi. Tapi dalam hal ni kita kena tegas. Memang perlu untuk kita menghormati orang yang lebih tua. Apalagi jarang berjumpa, pasti mereka rasa kecil hati kalau kita menolak terang-terangan.

Apapun, kita kena balik pada hukum Allah. Pada yang haram tetap kekal pada hukumnya selagi mana tiada yang menghalalkan. Oleh tu, cuba saja menggunakan cara ini dengan senyuman yang lebar di bibir dan tidak menunjukkan sebarang reaksi yang kurang selesa. kalau mereka mempertikaikan lagi, kita cepat-cepat minta untuk beredar dari sana dengan alasan kita nak solat dulu sebab takut lebih lama kita berdebat, silap haribulan timbulnya pergaduhan.

4. Minta bantuan adik/ kakak/ abang

- Cara ni kena minta persetujuan kedua-dua pihak. sebelum tetamu datang, berbincang dengan adik beradik yang lain. Bagi adik lelaki atau abang, kita boleh minta mereka untuk bersalam dengan para lelaki. Dan kita pula akan bersalam dengan tetamu perempuan sahaja.

Dengan cara ini,  kita hendaklah perlu lebih peka. Jika kita nampak sahaja ada kawan perempuan yang mula mendekati adik/abang kita, cepat-cepat kita hulurkan tangan kepada mereka untuk mengelakkan mereka menyalam adik/abang kita dan terus membawanya jauh dari adik/abang kita. Demikian juga pada adik/abang kita perlunya kata dalam setiap situasi. Justeru komitmen yang tinggi dalam melakukan cara ini perlu ada agar tidak menimbulkan persepsi ‘pelik’ daripada para tetamu.

5. Pakai sarung tangan

-Sekiranya kesemua strategi di atas juga tidak  berkesan, pakailah ‘sarung tangan pencegah’. Mungkin tetamu akan rasa sedikit pelik, dan rasa janggal namun kita perlu lakukannya untuk elak kulit bersentuh kulit antara yang bukan mahram. Walaubagaimana pun pernah saya membaca, walau dengan memakai sarung tangan, tetap tidak boleh bersalam selagi kita dapat merasa bentuk tangannya. 

6. Jangan tonjolkan diri terlalu kerap
- Bila orang selalu nampak kita, mereka akan rasa nak salam sebab rasa hormat mereka pada tuan rumah. Tapi, kita juga perlu bertanggungjawab atas diri kita. kita nak elak dosa, dan kita harap kita dapat selamatkan mereka juga. oleh itu, bagi yang perempuan jangan terlalu menonjolkan diri pada tetamu lelaki. banyakkan berkumpul dengan tetamu perempuan agar  mereka tidak begitu perasan dengan  kewujudan kita, sekaligus dapat elak risiko dilema menyambut huluran salam mereka.

7. Katakan ‘tak nak’ dan ucapkan maaf

- Cara ini memang nampak sedikit kurang sopan. Namun lebih baik daripada bersalam untuk elak dosa. Dan dalam masa yang sama kita juga nak selamatkan mereka. Jika kalau cara yang sebelum ini tak boleh pakai, teruskan saja dengan cara ke tujuh. Berterus terang bahawa dan ucapkan maaf  serta terangkan kepada mereka asbab mengapa kita tidak dapat bersalam dengan mereka.

Maklumkan kepada mereka dengan ringkas bahawa perkara tu dilarang dalam agama islam. Bersuaralah dengan berhikmah dengan senyuman namun tetap tegas tanda adanya pendirian. Bukan untuk menyombongkan diri tapi kerana kita takut pada Allah, dan kita tidak mahu melanggar perintahNya.


Sesungguhnya hukum Allah tu bukannya bermusim. kita nak guna alasan ‘tak apalah, waktu raya ni saja’.  Alasan sebegini tidak dapat diterima. Cuba kita bayangkan, jika Allah gunakan cara tu ke atas kita macamana? Contohnya Allah bagi kita oksigen percuma waktu siang saja, dan malamnya Allah kenakan cas kalau kita nak dapatkan oksigen, pasti tak adil kan?

Oleh tu, yang haram tetap kekal pada hukumnya. Niat tidak menghalalkan cara dan masa juga keadaan tidak membetulkan yang salah. Nabi Muhammad pun tidak pernah menyentuh tangan mana-mana wanita yang bukan mahram walaupun semasa baiat. Maka mengapa pula kita perlu sentuh wanita/lelaki yang bukan mahram pada waktu raya pula? Bukan hanya waktu raya, hatta setiap masa tetap jangan!


Jaga lah diri kita baik-baik kerana ia adalah amanah Allah. Dengan cara itu Allah akan pelihara kita dan orang di sekeliling kita. Sesiapa yang menjaga hak Allah, maka Allah akan menjaga kita. Bukankah pada diri kita sendiri ada hak Allah yang perlu dijaga?

Dalam Hadits Ma’qil bin Yasar radhyillahu ‘anhu, Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda:-

“Andaikata kepala salah seorang diantara kalian ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya” 
(HR Ath-Thobrany dan Al-Baihaqy dan dishohihkan oleh syeikh Al-Albany dalam Ash-Shohihah)

Sunday, 13 July 2014

Ramadham Kareem : Jom AUDIT diri !

Salam Ramadan Karim buat semua. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, jom kita sama2 audit diri untuk melakukan perubahan diri kita ke arah yang lebih baik! Moga Ramadan kali ini memberi sepenuh penghayatan dan amalan kita pada Allah s.w.t.
Dari Abu Hurairah Radiyallahu anhu, ia berkata bahawasanya Rasulullahi Sollallahu ‘Aalyhi Wa Sallam bersabda :
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ، فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
“ Apabila datang Bulan Ramadhan, maka pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, dan syaitan-syaitan pun diikat “
[ Muttafaq alaih; Shahih Imam Al-Bukhari no.1898),
Sahih Imam Muslim no.1080) ]

Di bawah ini, antara contoh jadual amalan di bulan ramadan yang boleh kita sama-sama praktikkan :-)
checklist ramadhan 2013
*Kalau ada mana yang kurang boleh perbaiki dan tambahkan. “Fastabiqul Khairat” Jom berlumba-lumba ke arah kebaikan. Jangan lepaskan peluang untuk mengutip sebanyak peluang yang ada di bulan barakah ini. Moga setiap amalan kita diterima di sisiNYA. AllahummaAmin….